360 New Emergence : Satu Anjakan Paradigma

oleh Kurator Tamu, Arham Azmi

Kewujudan kumpulan seni rupa dan studio-studio seniman muda dilihat sangat rancak sejak kebelakangan ini seiring dengan kewujudan kumpulan muzik indie di Malaysia. Penglibatan seniman muda secara berkumpulan dilihat mempunyai kekuatan yang tersendiri berbanding bergerak secara solo. Seniman muda kini dilihat amat giat berkarya sehingga sering memenuhi ruang-ruang pameran di galeri seni. Threesixty Art Development Studio (Threesixty) merupakan salah sebuah galeri seni rupa yang ditubuhkan pada tahun 2008. Ia adalah sebuah galeri yang memberi ruang dan peluang kepada seniman muda untuk mempamerkan hasil karya kreatif mereka. Sejak itu Threesixty telah mengadakan lebih daripada lapan buah pameran yang memaparkan karya-karya daripada seniman muda yang kebanyakkannya graduan dalam bidang senilukis dan senireka. Daripada pengamatan saya, kebanyakkan karya yang dipamerkan di Threesixty sebelum ini merupakan karya berbentuk catan, arca, cetakan, seramik, lukisan dan yang lebih bersifat konvensional, cuma ada beberapa buah karya dalam bentuk seni baru yang diselitkan dalam pameran tersebut.

Apabila menerima pelawaan daripada Threesixty untuk mengkurasikan sebuah pameran dengan karya-karya media baru oleh seniman muda saya terus menyetujuinya walaupun sebenarnya saya tidaklah begitu arif mengenai media baru. Namun bagi saya kurator tidak semestinya mengkurasikan perkara yang mereka mahir sahaja dan peluang ini saya ambil untuk menambah pengetahuan saya. Maaf sekiranya terdapat perkara penting yang tertinggal dalam penulisan ini kerana ia merupakan percubaan pertama saya dalam mengkurasikan pameran seperti ini dan persepsi awalan saya terhadap karya media baru serta bersifat asas.

Pelbagai tema diberi untuk sesebuah pameran bagi menyampaikan permaknaan secara kasar, untuk kali ini tema yang diberi nama ‘OuterinterX’ dipilih oleh 5 orang seniman muda tanpa perbincangan bersama kurator, namun saya tidak menyalahkan mereka kerana tema itu hanya sekadar memberitahu kewujudan sesebuah pameran dan apa yang penting bagi saya adalah karya seni mereka. OuterinterX adalah gabungan perkataan Outer, Inter dan X dimana ‘outer’ membawa makna satu keinginan dalam menghasilkan karya yang di luar kitaran konvensional seni rupa kontemporari di Malaysia, ‘inter’ pula membawa maksud cubaan mendapatkan ruang atau berinteraksi dalam konteks seni rupa , manakala ‘X’ merupakan keberangkalian kepada Xplorasi, Xpresi, Xperimen, X-faktor dan segala kemungkinan yang bermula dengan ‘X’ yang dilihat dari sudut positif. Terdiri daripada lima orang seniman muda yang mula bergiat secara aktif dalam seni rupa di Malaysia sekitar tahun 2008, mereka adalah Fadly Sabran, Syafiq Ali’am, Abdul Latiff, Al-Khuzairie dan Haris Abadi yang merupakan graduan daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Pameran ini diadakan atas desakan mencari kelainan bentuk seni apabila melihat wajah seni rupa kontemporari di Malaysia kebelakangan ini lebih banyak menjurus kearah mempamerkan karya–karya yang bersifat konvensional. Atas desakan itulah, maka lima orang seniman muda ini mula mencari jalan untuk meletakkan diri mereka dalam seni rupa kontemporari di Malaysia tetapi dengan karya yang mereka rasakan berlainan. Dengan kata yang mudah iaitu mempamerkan karya menggunakan media baru.

Apabila berkata mengenai kelainan, teringat saya akan Pertandingan Bakat Muda Sezaman yang diadakan pada tahun 2002. Perkara utama dalam laporan Zanita Anuar yang menjadi hakim ketika itu mengutarakan kerisauannya terhadap karya seniman yang dilihat tidak mampu memberi rangsangan baru ataupun luarbiasa. Kerisauan itu sebenarnya bukan sahaja dilihat dari sudut pertandingan ketika itu tetapi juga di peringkat Asia dimana seniman muda generasi abad ke-20 dari Malaysia dilihat tidak mampu meletakkan nama mereka dalam seni kontemporari Asia. Ini bermakna seni rupa kontemporari Malaysia juga mempunyai permasalahan yang sama seperti ahli sukan Negara untuk berada sama hebat seperti Negara asia yang lain. Persoalan disini adakah pameran ini mampu memberi ransangan yang luarbiasa kepada khalayak serta mampu melonjakkan nama lima seniman muda ini dalam seni rupa kontemporari asia?, bagi saya ini semua adalah permulaan bagi seniman muda abad ke-21 dalam melihatkan perubahannya.

Media baru menurut Wikipedia itu merangkumi a
udio art, sound art, cell phone art, computer art, digital art, electronic art, performance art, software art, video art, generative art, hacktvism, interactive art, internet art, media technology art, robotic art dan video game art.

“During the past half century, many avant garde artist have eagerly embraced new media technologies in their attempt to find fresh avenues of artistic expression. Among the most popular new media are video recording and computer graphic”. Inilah yang digambarkan bagaimana media baru itu bermula dalam konteks sejarah seni dunia.

Namun begitu saya tidak mahu hadkan kepada apa yang terkandung dalam wikipedia dan sejarah seni dunia ini. Kuratorial bagi pameran ini melihat apa yang jarang dipamerkan itu sebagai media baru bagi saya dan mungkin juga bagi para seniman dan masyarakat. Media baru yang saya ertikan merangkumi video art dan audio art melalui karya Fadly Sabran, robotic art dan kinetic art melalui karya Syafiq Ali’am, multimedia art dan projector art melalui karya Haris Abadi, mixed media dan installasi melalui karya Abdul Latif dan Al-Khuzairie yang saya rasakan terkandung dalam karya mereka.

Sebenarnya dari sudut sejarah seni rupa Malaysia, media baru bukanlah sesuatu yang baru kerana karya seperti ini pernah wujud dalam pameran di sekitar tahun 80an dan 90an. Ketika itu media baru dilihat melalui video art, computer art, electronic art, light art dan digital art. Antara pameran yang pernah diadakan seperti Pameran Seni Elektronik Pertama pada tahun 1997 yang dikuratorkan oleh Hasnul Jamal Saidon dan Niranjan Rajah serta Pameran Flow / Arus yang dikuratorkan oleh Zanita Anuar dan Wayne Tunnicliffe yang memaparkan karya seniman daripada Malaysia dan Australia. Seniman seperti Ismail Zain, Redza Piyadasa, Kamarudzaman Md Isa, Baharudin arus, Liew Kung Yu, Hasnul Jamal Saidon, Noor Azizan Rahman Paiman dikatakan antara yang terawal menggunakan media baru dalam menghasilkan karya. Karya media baru pada ketika itu diihat dapat memberi nafas baru kepada seni rupa kontemporari Malaysia, ironinya ia mula tidak sepopular karya konvensional dan seniman mula bergerak secara individu dalam mempamerkan karya dan keterlibatan seniman yang berkarya seperti ini dilihat agak suram. Hanya pertanding-petandingan seni rupa seperti Bakat Muda Sezaman, Pertandingan Anugerah Nokia dan Pameran Terbuka Malaysia yang mampu melihat karya seperti ini sebenarnya wujud di Malaysia.

Teknologi yang wujud membolehkan seniman mula menghasilkan karya dengan media baru. Hasnul Jamal Saidon menulis dalam katelog Seni Elektronik Pertama,

“...Pelukis dengan kehandalan tangan mula merasa tercabar dengan keupayaan mesin, kesucian seni yang dipusakai mula digoncang walaupun berus dan kanvas yang mereka gunakan merupakan cebisan teknologi yang mendasari kedatangan ciptaan baru...”.

Megikut pemahaman saya apa yang diperkatakan Hasnul ini menerangkan bahawa teknologi itu diihat berdasarkan kepada bahan yang diguna pakai oleh seniman. Bahan dalam menghasilkan karya akan berubah mengikut peredaran teknologi dari masa ke semasa. Senimanlah yang harus menentukan sama ada mahu memanipulasi teknologi yang ada dengan menggunakan bahan baru dalam karya mereka.

Melalui temubual saya bersama seniman untuk pameran ini, jelas sebenarnya mereka sangat dipengaruhi teknologi di dalam menghasilkan karya. Idea mereka kebanyakkannya membicarakan tentang teknologi yang wujud berkembang secara pesat dalam zaman mereka yang mana harus dimanipulasi sebaik mungkin. Sememangnya teknologi juga membantu mereka dalam penggunaan bahan yang mudah untuk diperolehi dalam menghasilkan sesebuah karya.

“...Exploration, research and experimentation into new technologies opportunities for artist, as well as research into the social and cultural implications of new technologies and development of technologically innovative applications, are the lowest common denominators among the contributions artist, technicians and scientists are making the field”.

Ayat ini menjelaskan bahawa teknologi telah membuka satu ruang dan cara baru untuk diihat oleh seniman, seniman seharusnya menggunakan teknologi bagi tujuan pengkajian dan pembangunan sepertimana yang dibuat oleh jurutera dan saintis. Apa yang dibuat oleh lima orang seniman muda Malaysia ini seharusnya dibanggakan oleh kita semua.

Ini juga disokong oleh Wayne Tunnicliffe,
“...nilai seni arus digital dan maklumat/teknologi perhubungan yang mentafsirkan budaya kontemporari boleh ditemui dalam pelbagai bentuk menerusi karya-karya artis...”.Ini bermakna perubahan bentuk seni rupa kontemporari Malaysia dipengaruhi oleh sejauh mana tekonologi kita berkembang.

Pameran ini bukanlah satu gerakan menolak konvensional seperti apa yang dilakukan oleh seniman-seniman dunia dalam aliran Dadaism, tetapi ia sebenarnya sebuah perkongsian akan bentuk seni rupa yang mengikut peredaran masa dan kesesuaiannya pada zaman ini.

OuterinterX bukan sahaja cubaan seniman muda untuk mempersembahkan kelainan karya malahan cubaan galeri swasta dalam melihat kewujudan karya seperti ini mampu merubah persepsi peminat seni, seniman, para kolektor, kurator, sejarawan seni dan masyarakat agar dapat menerima karya yang seperti ini. Ia juga bukan sekadar bersifat pragmatik semata-mata tetapi juga didukungi dengan permaknaan yang cuba dibicarakan oleh mereka. Pameran ini diihat sebagai semangat atau roh keberanian seniman muda dan Threesixty yang tidak memikirkan faktor komersial yang sentiasa menjadi sebahagian daripada keutamaan kepada para seniman dan pihak galeri swasta ketika ini. Namun kita juga harus memberi satu nilai kepada pameran ini atas dasar kejujuran seniman muda dalam menghasilkan karya dan nilai itu, terpulang kepada khalayak untuk menentukannya.
Sememangnya jiwa orang mudia itu ialah sentiasa mahukan kelainan, Ia merupakan ideologi baru seniman muda yang mahukan seni rupa kontemporari di Malaysia tidak hanya terkongkong dalam menghasilkan karya atas faktor tidak mahukan perubahan ataupun desakan kewangan. Pameran ini juga diharap dapat memberi inspirasi kepada bakal graduan seni dan seniman lain dalam mengembalikan dan mempelbagaikan bentuk seni rupa kontemporari di Malaysia. Semoga anjakan paradigma yang dilakukan oleh lima seniman muda dan Threesixty Art Development Studio ini memberi manfaat kepada kita semua.


Arham Azmi

Kurator Tamu, November 2009


Rujukan
1. Fred S. Kleiner, Gardern’s Art Through The Ages A Global History Thirteen Edition, Thomson Wadsworth, 2009, 2005.
2. Hasnul Jamal Saidon, Dah Nasib Badan! Menghadirkan Diri Dalam Era Elektronik dan Siber, Pameran Seni Elektronik Pertama, Balai Seni Lukis Negara, 1997.
3. Art&D Research And Development in Art, Intriduction and manual, V2_Nai Publisher, 2005.
4. Wayne Tunnicliffe, Arus, Katelog Flow / Arus, The Art Gallery of New South Wales / Balai Seni LukisNegara, 2000.

5. Zanita Anuar, Demi Masa, Katelog Bakat Muda Sezaman 2002, Balai Seni Lukis Negara, 2002.