“Contagion”
Wabak H1N1 (Selsema Babi) baru-baru ini telah mengejutkan seluruh dunia dengan kesan-kesannya kepada manusia. Begitu juga di Malaysia, kita dapat lihat wabak tersebut telah merebak ke negara kita dengan begitu cepat hingga melibatkan beberapa kesan seperti penutupan sekolah, universiti, kuarantin di sana sini dan lain-lain. Penularan wabak tersebut sangat pantas bagai sebaris dengan media elektronik. Bukan setakat H1N1 sahaja yang kita sedari, malahan mengingatkan kita kepada wabak-wabak sebelumnya seperti selsema burung, JE (Japanese Encephalitis), Denggi dan lain-lain.
Kewujudan sesuatu wabak semestinya mempunyai punca , penyebaran dan infeksi. Kekuatan bagaimana wabak tersebut merebak juga pasti ingin kita kenal pasti puncanya. Perkataan ‘Wabak’ dalam kamus terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka membawa maksud ; Kejadian diserang penyakit menular yang merebak dengan cepat dikalangan penduduk sesuatu kawasan. Wabak yang menular dalam kehidupan manusia saya kira bukan sahaja penyakit fizikal semata-mata, ia mungkin juga boleh dikaitkan dengan psikologi, ekonomi, sosial, budaya, emosi, ideologi, pegangan dan lain-lain.
“Budaya Kuning” juga boleh kita kaitkan sebagai wabak kerana ia bersifat sebagai penyakit budaya yang menular bagi kalangan masyarakat Melayu. Kadangkala sifat-sifat negatif juga boleh dikaitkan sebagai wabak, seperti hasad dengki, fitnah dan sebagainya. Kita juga secara tidak langsung sebenarnya tidak terlepas dari ‘wabak’ yang saya maksudkan, kerana ia berlaku kadangkala diluar sedar kita. Penularan ‘wabak’ hanyalah satu ‘Konsep’ yang saya cuba kaitkan disini, bukanlah untuk membincangkan soal kesihatan fizikal atau kesan negatif sesuatu infeksi wabak semata-mata.
Kita juga perlu menyedari bahawa konsep penularan ‘wabak’ itu juga sebenarnya bukan sahaja berlaku dalam aspek ekonomi, budaya, sosial, politik, ideologi, psikologi dan agama, malah ia juga berkaitan dengan bidang seni tampak. Kita dapat lihat perkaitannya menerusi pengaruh-pengaruh visual terhadap artis, penilaian pengamat seni, pemahaman sesuatu kesenian dan juga pengaruh persekitaran ruang seni itu sendiri. Konsep ‘wabak’ yang saya perkatakan ini adalah sudut positif dalam ruang dunia seni tampak.
Karya seni tampak sememangnya membawa pelbagai persoalan dan kadangkala juga membawa kepada jawapan secara subjektif. Ramai yang berpendapat bahawa karya seni mampu membawa satu suasana yang barangkali tidak dapat diperjelaskan secara fizikal, iaitu emosi dan juga perasaan. Ini terjadi atas kemungkinan bahawa manusia adalah satu-satunya makhluk yang mempunyai emosi dan perasaan. Kebanyakan seniman menghasilkan karya dengan penuh perasaan, naluri, sifat menjiwai, dan juga luahan emosi bagi memperlihatkannya luahan dalamannya dalam bentuk keindahan seni yang mempunyai pelbagai perspektif penerimaan. Melalui inilah golongan seniman berkomunikasi sambil menerapkan sesuatu emosi.
Selain itu golongan seniman juga boleh dikatakan sebagai golongan pemikir atau pencetus idea. Mereka akan meluahkan rasa atau menterjermahkan intipati buah fikiran mereka dalam bentuk seni tampak atas beberapa faktor sama ada secara ‘desakan’ atau spontan berdasarkan daripada hasil ‘refleksi’ seniman tersebut. Dari itu tercetuslah karya-karya yang membawa maksud yang pelbagai seperti kritikan, idea, cadangan, rakaman sejarah atau formalistik seni itu sendiri. Kesemuanya itu tercetus dari dalaman artis itu sendiri yang melalui proses pengamatan dan perasaannya terhadap kepekaan yang dilaluinya.
Apa yang dimaksudkan dalam pameran “Contagion” ini ialah satu kesedaran mengenai persembahan karya seni itu adalah satu proses dalam situasi perbuatan dan luahan rasa atau ekspresi seniman. Mengikut satu penulisan oleh Leo Tolstoy yang bertajuk “What is Art”, beliau menyatakan bahawa ramai ahli psikologis dan juga falsafah bersetuju bahawa suatu perbuatan atau aktiviti yang penuh emosi dan perasaan mampu mengurangkan tekanan rasa emosi dan melegakan tekanan saraf. Hasil dari itu dalam kedua-dua kegiatan iaitu : Kehidupan dan penciptaan seni, seseorang yang meluahkan emosinya seringkali melibatkan dirinya dengan sesuatu aktiviti yang lahir dari dorongan dalaman yang memerlukannya mengisi dan memuaskannya. Oleh kerana manusia itu makhluk sosial dan bermasyarakat, ia merasakan lebih puas lagi sekiranya ekspresi itu dapat disampaikan kepada orang lain bagi berkongsi tentang rasa emosi yang dialaminya.
Kemampuan karya seni atau artis itu sendiri telah pun banyak member infeksi terhadap tamadun manusia seluruh dunia. Secara sedar atau tidak, sebenarnya gologan seniman telah berkomunikasi melalui karya yang wujud dari zaman batu lagi, contohnya seperti terhasilnya lukisan gua yang dinamakan ‘Running Horse Attacked by Arrows’ jelas membuktikan bahawa kebolehan manusia dalam menghasilkan seni tampak pada sekitar 15,000-10,000 Sebelum Masehi di Lascaux, Perancis. Daripada bukti itu secara tidak langsung telah ‘bersuara’ kepada masyarakat hari ini tentang kewujudan mereka.Kita juga mempunyai golongan seniman tersendiri yang telah wujud dari zaman kegemilangan kerajaan Melayu lama hinggalah pada era millennium. Mereka ini juga terdiri daripada golongan yang memperlihatkan pelbagai cabang seni seperti kesusateraan, muzik, tarian, kraf, seni tampak tradisional dan juga seni tampak moden yang terus mekar.
Walau apa pun cabang seni mereka, persamaan yang terdapat pada seniman adalah ekspresi dan emosi, dimana mereka telah melakukan aktiviti seni bagi mendapat kepuasan ataupun melepaskan suara yang terpendam melalui kaedah kesenian dan sosial. Namun apa yang menariknya disini, tidak semua penghayat seni dapat menghayati atau membaca semua hasil seni tersebut, sekaligus tidak merasai apakah sebenarnya emosi seseorang artis yang cuba untuk disampaikan. Ada ketikanya karya seseorang artis itu dapat dihayati ketika artis tersebut masih lagi di zaman hidupnya, dan kurang bernasib baik juga terdapat karya yang hanya dapat dihayati serta dirasai penuh perasaan setelah artis itu meninggal dunia. Keadaan ini tidak perlu dipersalahkan kepada sesiapa pun kerana ia adalah perhubungan sesama manusia yang normal, tetapi terlalu kompleks untuk dibicarakan.
Perihalnya, mungkin juga punyai perkaitan dalam pameran “Contagion” ini yang menampilkan empat orang pengkarya muda seni tampak yang berbakat besar iaitu saudara Meor Saifullah, Mahadi, Hafiz dan juga saudari Deyana. Keempat-empat mereka memilih catan sebagai media perantaraan ‘jeritan bisu’ mereka kepada masyarakat umum. Disini, saya mungkin tidak membicarakan tentang tiap karya mempunyai emosi semata-mata, kerana pada perkiraan saya masyarakat sudah pun biasa dengan pernyataan tersebut.
Mereka yang terlibat dalam pameran ini adalah terdiri daripada graduan UiTM dalam bidang seni lukis dan seni reka yang gigih ‘berkayuh’ melibatkan diri dalam industri seni tampak kontemporari di Malaysia melalui aktiviti berpameran. Jika kita lihat dari sudut positifnya, ramai daripada pengkarya-pengkarya muda seni tampak seringkali menyatakan, karya mereka adalah satu ‘penyebaran' ekspresi dalaman mereka. Bagi saya, apakah luahan tersebut baik untuk masyarakat? Atau hanya untuk menunjukkan sifat pengkarya itu sendiri?. Sebagai contoh, seorang artis yang memperlihatkan sifat protesnya kedalam karya dengan menceritakan kemarahannya terhadap sesuatu, barangkali secara tidak langsung menunjukkan beliau adalah seorang yang mudah protes atau pemarah. Sebaliknya pula jika artis itu meluahkan perasaan yang murni untuk dihayati bersama, memperlihatkan artis itu bersifat inginkan sesuatu yang positif buat dirinya dan juga penghayat karyanya. Dari situ masyarakat akan melihat pro dan kontra seorang artis itu dan kelompoknya. Kadangkala sesebuah karya itu mungkin dapat menterjermahkan ‘dalaman’ artisnya.
Saya melihat, apa yang dimaksudkan oleh “Contagion” ini adalah berunsurkan satu konsep ‘infeksi’ emosi dan perasaan artis terhadap karya mereka melalui kaedah seni tampak. Empat orang seniman muda ini meletakkan tajuk “Contagion” ini agar diketahui umum bahawa seniman juga punyai peranan dan perasaan serta emosi yang tersendiri untuk didengari biarpun dengan suara yang sangat kecil. Apa yang dipersembahkan oleh mereka ini adalah karya seni tampak yang mempunyai suara kepekaan mereka terhadap sesuatu isu atau topik. Mereka menyampaikan kepekaan mereka terhadap sesuatu melalui kaedah seni tampak yang juga merupakan salah satu media komunikasi yang dianggap sebagai penyampai ekspresi mereka.
Pameran ini mendapat inspirasi berdasarkan dari konsep infeksi dan komunikasi emosi dalam seni, oleh seorang ahli falsafah iaitu Leo Tolstoy. Dari kewujudan konsep inilah tercetusnya teori yang disebutkan sebagai “Contagion” yang membawa pemahaman seni itu diibaratkan sebagai bahan yang mampu mempengaruhi emosi dan perasaan sama ada kepada artis mahupun penontonnya. Dengan lebih mudah lagi diperjelaskan “Contagion” itu membawa maksud satu infeksi atau kesan terhadap sesuatu. Sebagai contoh yang ringkas, mereka mengibaratkan sesebuah karya seni itu adalah seperti wabak, seniman adalah pembawa wabak tersebut dan penonton pula adalah penerima kesan wabak tersebut.
Disini, mereka mungkin mengukur kemampuan infeksi dan komunikasi tersebut melalui aktiviti kesenian itu sebagai luahan rasa yang dapat dikongsi bersama penghayatnya. Mungkin infeksi yang mereka bawa ini mampu menembusi lapisan tersembunyi perasaan pelihatnya, serta mampu menimbulkan sesuatu yang mendorong kepada emosi dalaman manusia seperti yang pernah dikaitkan oleh Socrates sebagai “Daimon”.
Merujuk pada penulisan Mohd Johari Abdul Hamid dalam ‘Falsafah dan kritikan seni’ yang menyatakan bahawa “Artis juga sebahagian daripada masyarakat..dan artis yang melibatkan diri dengan masyarakat adalah artis yang istimewa..” yang membawa maksud mereka (seniman) ini merupakan golongan yang mempunyai keistimewaannya yang tersendiri dalam sesebuah masyarakat. Walau bagaimana istimewa sekali pun, seorang artis juga sangat memerlukan interaksi sesama manusia untuk bersosial bagi mendapatkan inspirasi, pengamatan dan juga pengalaman untuk diaplikasikan kedalam karya. Sejauh mana keistimewaannya barangkali terletak pada kekuatan kesenian mereka dalam memberi kesan kepada dunia industri seni. Mungkin akan diketahui jawapannya atau tidak bagi peringkat awal ini, namun apa yang pasti, infeksi “Contagion” ini juga bergantung pada reaksi penonton dalam pameran tersebut.
Dalam hal ini, kita boleh melihat beberapa contoh yang boleh kita nilaikan perkaitan konsep infeksi ‘Contagion’. Sebagai contohnya jika dilihat pada karya Pablo Picasso yang bertajuk ‘Guernica’ pada tahun 1937 yang dikatakan sebagai satu reaksi luahan yang penuh emosi terhadap kemusnahan Bandar Guernica. Pablo Picasso menterjemahkan karya itu berdasarkan satu peristiwa dimana kekejaman tentera Nazi melalukan pengeboman terhadap penduduk di negaranya. Karyanya yang penuh emosi ini menjadi bukti komunikasi kepada suara artis yang mewakili masyarakatnya terhadap kengerian dan kekejaman tragedi tersebut. Bukan setakat Pablo Picasso sahaja yang berjaya menyuarakan emosinya melalui seni tampaknya, terdapat juga artis lain seperti Francisco Goya, Eugene Delacroix, Otto Dix, Ben Shahn dan ramai lagi. Karya-karya tersebut banyak mempengaruhi serta member inspirasi kepada suara emosi artis pada hari ini untuk melaungkan emosi yang berkaitan dengan kritikan politik atau peperangan.
Meor Saifullah Lullaed merupakan salah seorang artis muda yang berbakat, berkemungkinan mempunyai suara emosinya terhadap kemelut peperangan dan komentari sosial serta aplikasi yang ‘sedikit’ radikal dan sinis melalui karyanya. Dalam karya beliau yang bertajuk ‘Captain America’ menggambarkan karakter anjing yang memakai kostum seorang watak adiwira komik popular keluaran ‘Marvel Comics’yang sangat dibanggakan oleh rakyat Amerika iaitu ‘Captain America’. Meor menggambarkan watak anjing memakai kostum tersebut mungkin untuk menunjukkan sinisnya kepada perwira-perwira Amerika yang beliau ibaratkan sebagai ‘anjing belaan’. Rantai yang besar mengikat anjing tersebut memperlihatkan adanya sifat berunsur kekangan dari pihak tertentu yang tidak dapat dipastikan. Karakter anjing dalam karya beliau memperlihatkan seolah-olah bersifat ‘innocent’ mungkin mewakili tentera Amerika yang telah dilabelkan tidak berperikemanusiaan. Pada hakikatnya mereka mungkin seperti manusia yang lain, tetapi terpaksa patuh kepada negara dan arahan dalam beberapa siri kempen peperangan yang kononnya memerangi keganasan di Asia Barat. Apa yang saya lihat Meor mungkin meluahkan perkaitan simpati sesama manusia dan bukan setakat pada pihak umat Islam yang telah menjadi mangsa kempen anti-pengganas oleh Amerika itu saja. Saya kira ia satu luahan peribadi yang baik, dan barangkali juga ada pihak menganggap mampukah ia mengubah peperangan tersebut hanya dengan ‘coretan’ dan ‘bakat’sinisnya pada kanvas, bagi saya ia merupakan satu luahan dengan harapan peribadinya. Dari dudut logika mungkin saya pun akan katakan ‘mustahil’,namun siapa tahu mungkin ia mampu, jika berlaku keajaiban-Nya.
Karya beliau ‘The Otak Udang’ bagi saya amat menarik untuk kita renungkan bersama kerana ia menampilkan peribahasa Melayu ‘Otak Udang’ yang bermaksud seorang yang bodoh, tuli atau cetek pemikiran. Karakter udang yang kita lihat pada karya Meor ini sinis menggambarkan udang yang berpakaian korprat atau professional, ini mungkin tercetus daripada emosi beliau terhadap sikap sesetengah golongan ‘atasan’ yang selalu menunjuk-nunjuk sifat kepandaian, kekayaan atau kuasa hingga timbul kebodohan diri sendiri tanpa disedari. Tambahan pula dengan beberapa umpan yang terdapat pada mata kail di sekeliling karakter ‘manusia-udang’ tersebut, mungkin ia mesej bagi menceritakan dalam kehidupan kita sebagai manusia ini penuh dengan godaan dan tipu helah yang perlu kita waspada.
Pada pendapat saya, penggunaan metafora haiwan-haiwan yang terdapat dalam karya Meor mungkin satu kritikan yang agak umum dan mungkin ada sesetengahnya mempunyai sasaran tertentu beliau. Saya juga dapati karya beliau juga mungkin dipengaruh oleh karya-karya ‘Lowbrow Art’, Pop, illustrasi, Realisme, Neo-ekpressionisme dan sedikit unsur Neosurrealisme. Penggunaan latar belakang awan-awan khayalannya mengingatkan saya pada karya artis aliran surrealisme seperti Salvador Dali, Rene Magritte dan selainnya. Namun begitu, saya terfikir penggayaan awan dalam karya-karya Meor mempunyai sedikit persamaan dengan seorang lagi artis di zaman awal pembaharuan aliran seni realisme, iaitu Albrecht Altdolfer dengan karyanya yang bertajuk ‘Battle of Alexander’, yang terhasil sekitar 1529. “..nature became one of the principal vehicles of expression for the artist attempting to convey the vastness of the universe..”. Daripada hujah tersebut merujuk kepada karya Altdorfer menguatkan lagi visual yang tercetus dari emosi dan ekspresi beliau dalam memberi kesan terhadap satu ruang atau suasana yang agak subjektif. Saya pasti Meor mungkin secara tidak langsung punyai persamaan dengan ‘mood’ karya tersebut.
Dari perspektif yang lain saya melihat karya Meor lebih menumpukan pada karakter ‘haiwan-manusia’ bagi membawa perkaitan terhadap emosi beliau. Karakter haiwan seperti anjing, rusa, chimpanzi, kambing dan lain-lain digunakan sebagai metafora kepada sesuatu. Namun mungkin meor sedia ‘angguk’ jika kita nyatakan pengamatan penghayat seni tidak semestinya mempunyai pandangan yang sama, mahupun dari segi interpretasinya. Sebagai contoh ada sesetengah golongan menganggap anjing sebagai haiwan yang menjijikkan, liar dan merimaskan. Manakala ada sesetengah golongan pula menganggap anjing itu haiwan yang mesra, jinak dan menghilangkan rasa kesepian. Pernyataan yang ingin disampaikan oleh Meor ini mungkin disebelah pihak yang mempunyai perspektif pemikiran Melayu dan agama Islam berdasarkan jatidiri beliau bagi membuktikan karyanya mampu memberi infeksi yang lebih tepat melalui karakter metaforanya itu.
Lain pula halnya dengan saudara Mahadi Ayob yang boleh dikatakan agak komplikated dari segi terjemahan visualnya. Beliau menghasilkan karya-karya visual yang kompleks dan boleh kita kira Mahadi ini dipengaruhi karya-karya Surrealist. Penggunaan warna dalam karya beliau juga jelas banyak dipengaruhi seni catan ‘Great Master’ Surrealisme seperti Max Ernst, Dali, Joan Miro, Man Ray, Andre Masson, Yves Tanguy dan lain-lain. Dalam karya beliau yang bertajuk ‘The Winner is..’ dapat kita lihat dalam karya ini terdapat juga ciri-ciri catan Magritte, iaitu sudut pandangan dari hadapan kelihatan seperti dari jendela. Bentuk-bentuk visual yang dihasilkan oleh Mahadi sememangnya seolah-olah terhasil daripada bentuk imaginasi atau mimpi-mimpi, Mahadi juga berupaya mengaplikasikan bentukan ‘khayalan’ dalam karyanya. Seperti yang pernah diperkatakan Werner Haftmann dalam penulisannya “When we dream, we do not even ask whether the things we see are possible; everything becomes easy and possible”. Daripada pernyataan itu, saya yakin Mahadi mempunyai kepercayaannya dalam menghasilkan visual anti-logik.
Penghasilan karya Surrealisme sangat menarik kerana ia adalah antara aliran awal yang membawa kepada perkembangan seni abad ke-20. Aliran ini terkenal dengan visual ‘minda separa sedar’(Subconcious Mind) serta ‘Metafizikal’ sekaligus telah menjadi salah satu aliran yang banyak mempengaruhi aliran-aliran selepasnya. Kewujudan aliran Surrealisme ini sebenarnya secara tidak langsung telah terhasil daripada kewujudan hasil karya-karya metafizikal sekitar tahun 1910-1920an seperti ‘Enigma of the Oracle’ oleh Giorgio De Chirico, ‘Pine by the Sea’ oleh Carlo Carra dan juga karya ‘Metaphysical Still Life’ oleh Giorgio Morandi. Kewujudan mereka sebagai pencetus karya-karya metafizikal merupakan bukti penting bagi menjelaskan kewujudan Surrealisme yang juga mempunyai unsur-unsur yang sama dengan gerakan kumpulan yang membuat review pertama ‘Valori Plastici’ (diterbitkan pada tahun 1918) yang dinamakan oleh De Chirico sebagai stail ‘Metaphysical Painting’.
Surrealisme menyambung lagi tarikan yang ada pada stail catan ‘Metaphysical’ yang wujud sekitar tahun 1920an itu kepada satu tahap yang lebih membanggakan, dikuatkan lagi pegangan mereka ini adalah dengan teori Sigmund Freud dan juga manifesto yang telah diperkenalkan oleh Andre Breton pada tahun 1924. Perkaitan yang saya lihat merujuk kepada teori Leo Tolstoy mengenai infeksi emosi dan komunikasi dalam seni (Contagion) sebenarnya dapat kita lihat daripada pernyataan “..the rational control that governed Metaphysical invention is absent from Surrealism, which sought to convey its message to the subconscious, exploiting involuntary psychic connections of ideas for self-expression.”. Dengan kata lain secara tak langsung artis aliran Surrealisme ini sebenarnya telah menerima konsep ‘wabak’ daripada gerakan ‘Metafizikal Painting’ yang wujud sebelumnya.
Mahadi berupaya menggunakan rupa, bentuk, stail, disiplin dan juga warna yang terhasil seperti yang terdapat dalam karya ‘Metaphysical’ dan Surrealisme. Beliau mungkin dipengaruhi aliran-aliran tersebut dari aspek visual sahaja. Ini kerana kebanyakkan daripada artis-artis zaman surrealisme ini bereksperimentasi dalam menghasilkan karya-karya alam minda separa sedar (Subconcious Mind) ini dengan mengambil dadah dan alkohol. Terbukti daripada sebuah pernyataan mengenai catan Surrealisme “A process bordering on self-hypnosis was embraced to arrive at this heightened state. No Doubt some artists used drugs and alchohol.”. Mahadi mungkin menghasilkan bentuk-bentuk metafizikalnya dari proses pembelajaran, pengamatan visual, rujukan dan imaginasi. Saya andaikan Mahadi ‘belum’ terpengaruh hingga ke tahap bereksperimentasi dengan alkohol atau sebarang dadah kerana beliau telah pun melihat bentuk-bentuk tersebut melalui rujukan dan pembelajaran berbanding dengan artis di zaman surrealisme yang tidak pernah melihat bentuk-bentuk metafizikal tersebut hingga menyebabkan mereka obses untuk menemuinya.
Mahadi juga secara tidak langsung telah menerima infeksi sebenarnya jika kita perhatikan pada karyanya. Saya memberi pandangan tersebut kerana infeksi dari Surrealisme itu telah berjaya menembusi ‘lapisan’ penerimaan minda dan jiwa beliau. Dengan kata lain Mahadi adalah antara individu yang dijangkiti ‘wabak’ Surrealisme, mungkin secara visual. Kini, Mahadi juga cuba menyebarkannya semula dalam konteks masa, tempat dan penonton yang berbeza dengan kewujudan asal ‘wabak’ tersebut.
Di zaman kanak-kanak, kita mungkin telah disajikan dengan pelbagai cerita-cerita dongeng, mitos, legenda, fantasi, kisah-kisah puteri, raja dan sebagainya. Bukan saja cerita-cerita tempatan yang kita terima malahan juga kisah-kisah dongeng Barat seperti The Wizard of Oz, Cinderella, Snow White, Jack and the Beanstalk, Peter Pan dan sebagainya. Kebanyakan contoh-contoh tadi sebenarnya mempunyai perkaitan dengan karya saudari Deyanna Deraman, salah seorang pelukis muda yang juga antara yang ‘terpilih’ dianugerahkan bakat oleh Maha Pencipta.
Kisah-kisah dongeng ini telah tersebar melalui bahan bacaan, buku bergambar, filem dan juga animasi. Apa yang unik disini ialah kanak-kanak di seluruh dunia sering disajikan dengan bahan-bahan yang begitu,saya kira tidak perlu kita pertikaikan lagi kerana setiap penceritaan kisah-kisah dongeng dan fantasi ini sebenarnya bertujuan memupuk nilai-nilai murni kepada kanak-kanak dan juga berfungsi sebagai bahan pendidikan secara tidak langsung. Dalam hal ini, kita lihat Deyana merupakan salah seorang yang terinfeksi dengan kisah-kisah dongeng tersebut sekaligus memberikan inspirasi dalam penghasilan karya catannya dalam pameran ini. Beliau sebenarnya mengandaikan watak perempuan dalam setiap karyanya itu sebagai potret diri. Gambaran dalam kisah-kisah dongeng bukan sahaja tertumpu pada magik dan keajaiban, tetapi juga aspek perjalanan hidup dan juga emosi.
Deyanna telah berfantasi serta menyampaikan ekspresi dalamannya melalui penceritaan yang penuh misteri dengan berlatar belakangkan suasana yang sunyi, alam fantasi, haiwan dan makhluk aneh. Cetusan rasa yang lahir dalam catan Deyanna ini bagai membawa emosi yang terpendam untuk dirasai penghayatnya. Karya beliau yang bertajuk ‘The Little Traveller’ memperlihatkan suasana fantasi yang agak ‘Gothic’ bagai di alam ‘kegelapan’, penggunaan imej pokok yang tanpa daun menguatkan lagi suasana fantasi seram bagi sesetengah orang yang melihatnya. Watak perempuan tersebut di beri penonjolan dari segi kontra warna sebagai ‘focus image’ dalam karyanya. Pada pendapat saya, Deyanna berjaya menghasilkan dunia fantasinya sendiri seperti yang penah dihasilkan dalam filem-filem Tim Burton dan lain-lain.Deyanna banyak merujuk kepada hasil karya-karya berunsur fantasi bukan sahaja pada buku-buku cerita, malahan dari filem dan juga animasi.
Fantasi Individu (Individual Fantasist) dalam seni sebenarnya telah menjadi ‘trend’ dikalangan umum Eropah Barat sejak tahun 1900an lagi, ia dilihat sebagai karya yang individu tetapi agak berpengaruh kepadai artis yang bukan di kelompok pergerakan Dadaisme atau Surrealisme. Karya-karya fantasi ini di labelkan sebagai ‘Individual Fantasist’ kerana penemuannya lebih kepada individu dan tidak tertumpu pada mana kumpulan pergerakan seni. Disamping itu, ia juga tidak terikat dengan mana-mana fahaman atau disiplin kumpulan, ia adalah hasil cetusan imaginasi artis tersebut semata-mata. De Chirico, Paul Klee dan Marc Chagall adalah antara artis yang mempunyai ciri-ciri karya fantasi. Jika kita merujuk kepada karya Marc Chagall yang bertajuk ‘I and the village’ yang dihasilkan pada 1911 ini sebenarnya member impak yang sangat menarik dimana beliau telah menghasilkan kombinasi kesan di antara ‘Expressionism’ dan ‘Cubism’ dalam catan tersebut.
Karya-karya fantasi juga telah terbahagi kepada banyak aliran pergerakan. Tambahan ia telah menjadi satu kegemaran para artis amatur dan juga pelukis ilustrasi masa kini yang juga berkaitan dengan aliran ‘Fanart’. Pengaruh kepada karya-karya fantasi ini tidak dapat kita sangkal dengan impaknya sama ada karya secara manual atau digital. Walaupun mungkin terdapat sedikit ‘kekaburan’ tentang sejarah pengiktirafannya dalam konteks aliran seni halus. Diperjelaskan disini, ‘Fantasy Art’ dan ‘Fantastic Art’ adalah dua aliran yang berbeza bagi mengelak salah faham mengenai terma tersebut kerana ‘Fantasy Art’ tidak menekankan elemen fantastic yang pastinya tidak berkaitan dengan soal fantasi per se. Walau apapun, cabang seni fantasi inilah yang memberikan ilham kepada Deyanna untuk mempersembahkan karyanya.
Deyanna barangkali menemui gaya dan persembahan visualnya melalui ‘Fantasy Art’ mungkin atas faktor persekitaran dan pengaruh media. Berdasarkan dari karyanya juga terdapat pengaruh gaya komik, kartun atau animasi Jepun yang juga dikenali sebagai ‘Manga’ (komik) dan ‘Anime’(animasi). Kebanyakan daripada artis kontemporari Jepun kini juga berinspirasikan dari pengaruh ‘Anime’ dan ‘Manga’.
Dalam perkembangan seni itu sendiri telah wujud mekanisme yang menggerakkannya seperti media massa, internet, buku, majalah dan juga industri kreatif. Mekanisme tersebut itulah yang bertindak sebagai penyebar sesuatu ‘wabak’, dengan kata lain ialah pengaruh. Hafiz Yusoff atau lebih dikenali dengan akrab sebagai ‘Samad’, memperlihatkan keupayaan visualnya dengan menghasilkan karya yang boleh kita lihat seakan-akan mempunyai gabungan unsur Pop, Surrealisme, Ilustrasi, seni oriental dan pengaruh senireka grafik.
Saudara Hafiz dalam pendapat saya, sebenarnya mempunyai keunikannya yang tersendiri berdasarkan dari visual yang telah dihasilkan beliau seperti dalam karyanya yang bertajuk ‘The True Colours’ dimana terdapat imej seakan-akan laut yang bergelora. Pastinya mengingatkan kita pada karya visual ombak popular seni cetak Katsushika Hokusai, ‘Under The Wave off Kanagawa’ 1829-33. Kekuatan karya Hokusai ini terletak pada pengulangan tiap alunan ombaknya yang mempunyai elemen pergerakan dan irama (rhythm) yang amat unik. Mungkin Hafiz cuba untuk mendapatkan mood yang sedemikian dalam seni visualnya, selain itu beliau juga mewujudkan suatu suasana yang seakan-akan Surrealis dengan menggambarkan awan-awan yang terapung. Di antara laut dan awan tersebut kelihatan sebelah tangan seperti muncul dari dasar laut, manakala sebelah lagi muncul dari atas awan seolah-olah ingin menyambut tangan yang sedang mengapai keatas.
Pertembungan dua belah tangan yang berlainan tersebut mungkin membawa erti pertolongan atau hubungan diantara dua pihak. Mungkin juga ia boleh membawa kepada pelbagai interpretasi umum. Secara tidak langsung merujuk pada karya era Kemuncak Renaissance (The High Renaissance) Michelangelo, “Creation of Adam” pada sekitar 1508-1512. Mungkin ada ‘sedikit’ persamaan dari aspek visual, namun saya percaya intipatinya mungkin berbeza bagi saudara Hafiz. Beliau juga menggambarkan seekor naga dengan hanya menggunakan garisan spontan keatas kanvasnya, mungkin beliau ingin memasukkan ciri-ciri seni tradisi Asia. Pada pendapat saya mungkin beliau ingin membuat satu pertembungan nilai estetik diantara seni Asia dan Barat.
Secara keseluruhan karya Hafiz ini, dapat saya rasakan beliau juga telah mengasimilasikan ciri-ciri senireka grafik ke dalam karya seni halus sama ada secara sengaja atau tidak. Mungkin beliau cuba membawa sesuatu yang ingin diperjelaskan dalam konteks bahasa visual. Kemungkinan yang paling besar saya kira ialah faktor persekitaran beliau, iaitu seorang Pereka Grafik Professional dan juga salah seorang dari kelompok artis muda.
Infeksi pengaruh seni tampak Barat dan Asia secara tidak langsung mengilhamkan saudara Hafiz dalam luahan karyanya yang saya kira ada unsur kuat Neosurrealisme, iaitu sebuah aliran yang boleh dikira agak popular pada masa kini. Neosurrealisme sebenarnya merupakan sebuah aliran seni yang agak ‘muda’ berbanding dengan aliran Surrealisme. Aliran Neosurrealisme ini dilihat masih samar dari sudut falsafah spesifiknya, pengasas dan juga kumpulan pergerakannya sepertimana aliran-aliran lain., berdasarkan dari petikan “This definition may be applied toNeosurrealism but it does not have a particular founder or group. The movement is still not clearly defined, but it develops rapidly adding more professional and amateur art enthusiasts every day.”. Sungguhpun tidak mempunyai asal-usul yang kuat seperti Surrealisme, aliran ini cukup kuat mempengaruhi generasi kini yang membangkitkan semula penghasilan karya-karya alam mimipi atau minda separa sedar kedalam konteks seni tampak kontemporari. Dengan impak pengaplikasian budaya pop, grafik, teknologi dan lain-lain kedalam unsur karya Surrealisme menjadikan Neosurrealisme lebih kontemporari dan diminati golongan artis generasi kini untuk berekspresi dalam karya seni yang sinonim dengan zaman mereka.
Daripada pengamatan saya, keseluruhan karya dalam pameran “Contagion” ini bukanlah persembahan hasil seni yang hanya untuk santapan mata sahaja, malah di dalamnya terkandung beberapa cetusan rasa emosi, idea, rupa dan maksud yang pastinya menarik untuk dikongsi bersama antara artis dan juga penonton. Apa yang paling penting untuk saya nyatakan disini ialah, infeksi ‘wabak’ yang diperkatakan dalam konteks seni itu ‘kemungkinan besar’ berlaku bukan sahaja dikalangan artis yang ‘dijangkiti’ pelbagai aliran seni kegemaran mereka, malah ia juga meresap masuk kedalam minda penghayat seni, masyarakat umum yang melihat pameran dan juga galeri-galeri seni yang bertindak secara tidak langsung sebagai ejen pusat merebaknya ‘Contagion’ ini. Ucapan tahniah buat empat orang pengkarya muda yang berusaha menyebarkan ‘wabak-wabak’ mereka dengan penuh gigih, sebagai tanda sokongan mereka terhadap perjalanan Seni Tampak Kontemporari Malaysia. Usaha mereka haruslah kita sama-sama sokong dan hargai walau sekecil mana pun luahan suara mereka, kerana saya amatlah yakin bahawa anda telah ‘dituliskan’ oleh yang Maha Esa untuk mengetahui tentang pameran ini. Akhirkata, semoga penulisan saya dapat membawa kebaikan kepada sesiapa sahaja yang membacanya dan yang buruk itu datang dari kita, yang baik itu hanya dariNya.
Syafiq Ali’am
Kurator dan Penulis Novis Pameran “Contagion”




